gerbang taman

Taman Kekanda

Khamis, 13 September 2012

Al Fatihah buat ayahanda…

Syukur…
Bismillahirrahmanirrahim… Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana masih diberi peluang menghembuskan nafas di buminya ini… 

Al-Fatihah… 

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Tidak akan cepat atau lambat walaupun sesaat. Tepat seperti perjanjian. Tepat jam 4.50 pagi tanggal 19 Syawal 1433 Hijrah bersamaan 6 September 2012, ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir tatkala usianya 56 tahun 11 bulan 17 hari. 

Selamat berbahagia ayah di alam baharu. Tempat itu juga bakal menjadi tempat kami. 

 5 September 2012, Rabu / 18 Syawal 1433H

Di Gopeng, Perak, ku pergi sekolah seperti biasa. Sekitar 8 pagi lebih, aku dapat mesej dari adik di kampung mengatakan ayah panggil aku. Pukul 10 lebih, mesej lagi… ayah panggil lagi. Mengikut cerita mak, bila mak respond yang aku tak ada. Sedang praktikum kat Perak, dia diam sekejap… 

Di sekolah, aku agak resah, sebarang kerja-kerja failing, dokumentasi dan lain-lain tak mampu nak fokus walhal minggu depan lecturer nak datang buat penyeliaan terakhir… Pukul 6.40 petang, aku pulang dari sekolah. 

Selesai makan malam bersama housemate dan solat maghrib, aku bercerita apa yang terjadi pada mereka. Mereka memberi sokongan kepadaku supaya pulang malam itu juga. Ku telefon mak minta izin… kata mak, balik la hujung minggu. Praktikum macam mana? Aku cakap aku da minta cuti tapi mula hari Jumaat. 

 Beberapa ketika ‘tawar menawar’ dengan mak supaya diberi keizinan, akhirnya dapat. Lantas ku telefon kaunter Bas Mahligai bertanyakan status tiket bas. Kebetulannya katanya ada. Seterusnya ku hubungi kaunselor pembimbingku, Kak Yani meminta bantuannya untuk menghantarku ke stesen bas Medan Gopeng yang mengambil masa sekitar setengah jam juga. 

Tiket bas pukul 10 malam. Jadi pukul 9 kami perlu keluar dari rumah. Ketika itu pukul 8 lebih. Lantas ku bergegas ke bilik air untuk membasuh baju dan khidmat diri. Usai solat Isyak, Kak Yani tiba… Alhamdulillah malam itu semua urusan dipermudah. Bas agak laju namun bukan dalam keadaan bahaya. 

Hujung minggu lepas aku pulang juga ke kampung. Sampai rumah lebih kurang pukul 5 pagi lebih. Waktu tepatnya kulupa… 


 6 September 2012, Khamis / 19 Syawal 1433H

Namun kali ini sampai bandar Kota Bharu sekitar 4 pagi. Kutunggu sekejap, kata kakak, dia lambat sedikit kerana bantu ayah solat… wudukkan ayah dan adik pegang kepala ayah supaya tidak jatuh. Kata adik beliau dengar ayah baca Alfatihah. Jelas sebutannya tatkala menyebut “Ihdinassiratalmustaqim…” seterusnya, kakak datang menjemputku dan kami sampai sekitar pukul 4.15-4.20 pagi lebih kurang.

Sampai rumah ku bergegas ke bilik ayah. Keadaannya amat penat. Sudah 3 hari beliau tidak dapat tidur langsung. Nak rebahkan belakang pun x mampu kerana belakang beliau sangat sakit. Jadi ayah duduk di kerusi. Sambil kadang-kadang cuba untuk lelap di meja di hadapannya. Ku hampiri ayah dan cakap padanya, “ayah, mah dah balik… ayah cari mah? Ha, ni mah da ada depan ayah…” ayah pandang aku. Kemudian beliau larikan pandangan. 

Seterusnya beliau minta nasi dan air barli. Aku lantas berlalu ke dapur. Ku ambil air dan berikan kepada adik dan seterusnya mengambil sedikit nasi dan baki ikan bakar yang ada. Lantas ku suap ke mulut ayah. Alhamdulillah beliau makan dengan baik setelah beberapa hari tidak lalu makan. Air barli yang adik suap pun mampu ditelan dengan baik. Dalam masa yang sama adik berikan juga ayah minum air bacaan Yaasin. 

Setelah itu, ayah minta basahkan belakangnya kerana katanya beliau panas. Jadi adik usap belakang ayah dengan air penawar bacaan-bacaan suci. Melihat belakangnya yang basah, kami tahu beliau sejuk. Lantas beliau maklumkan beliau sejuk tapi tak mahu selimut kerana takut panas… mak cik cakap ayah sejuk luaran tapi dalaman panas. Ayah kata kat adik, “telefon ustaz, cakap ayah sejuk…” adik lantas mencapai telefon dan menekan butang kekunci telefon. Kelihatan dia bercakap dan katanya “ ayah, ustaz suruh selimut”. Sebenarnya adik segan nak hubungi ustaz pukul 4 pagi lebih. Jadi adik cakap je ustaz suruh selimut. Tapi ayah tak nak. 

Seketika mak cik berkata kepada ku, “mah, ajar ayah mengucap, jangan biar dia cakap perkara lain, jangan biar dia lalai”. Aku angguk, namun belum sempat nak ajar kat telinga ayah, kami dengar ayah sebut kalimah “Lailahaillallah”. Dalam hati kami terluah kelegaan kerana ayah tidak lalai. Kemudian, ayah minta aku pula usap belakangnya dengan air. Ku usap sekejap belakangnya dengan penuh kasih sayang, ku lihat badan ayah menggigil kesejukan, ku selimuti badannya. Dia tidak menolak. Alhamdulillah. 

Tak lama kemudian, ayah cakap dia nak buang air kecil. Dipendekkan cerita, kami keluar bilik ayah dan mak uruskan ayah. Selepas beberapa minit, kami kembali ke bilik. Melihat ayah bersandar di kerusi kami lega. Dah banyak hari ayah tak boleh sandar. Ayah tutup mata, kur enung mata ayah… “ alhamdulillah, akhirnya ayah boleh tidur…” ucap ku dalam hati. 

Ku jalan di hadapan ayah dan duduk di atas katil berhadapan kerusi ayah. Ku capai surat Yaasin dan mulakan bacaan sambil menjeling ayah. Tatkala itu ku lihat ada sedikit getaran di paha ayah. Kami adik-beradik saling berpandangan… kami tau, itu salah satu tanda kematian. Ayah nampak tenang. Ku teruskan bacaan, adik mengambil kamera untuk mengambil gambar ayah. 

Tatkala itu beliau sedar kelainan pada ayah. Lantas menyentuh ayah dan meraba hidung ayah, merasai adakah masih ada pernafasan? Adik panik dan terus berteriak memanggil mak dan pak cik. Kami semua bangun dan pegang ayah… pak cik datang dan rasa dada ayah, sentuh nadi ayah, rupanya ayah dah tidak ada… Allah, mudahnya beliau pergi… 

 Mendengar berita itu kami amat lemah, perasaan itu hanya Allah yang tahu. Adik terkejut, dan terus rebah. Sekitar 10 minit kemudian, beliau kembali tenang. Seterusnya, dengan kudrat kami anak-anak, isteri dan adik ayah serta suaminya, kami angkat jenazah ayah, baringkan ayah dengan seselesa mungkin di atas tilam ayah… kami tutup badan ayah dengan kain… lantas kami bacakan ayat2 suci buat ayah… Ayah telah tiada… saudara mara, sahabat handai dimaklumi… ketika itu beberapa orang kenalan ayah tiba… mereka hadiahkan ayah bacaan Yaasiin… suasana syahdu, pilu ketika itu. 

Usai solat Subuh, makin ramai tetangga dan saudara datang. Mereka sekali lagi mengangkat jenazah ayah dan meletakkan di ruang tamu. Tetamu yang datang menghadiahkan doa dan Yaasiin. Selepas itu ku lihat seorang yang amat kami kenali, Dr. N datang dengan jubah cantiknya. Beliau menghampiri jenazah ayah dan berdoa seketika, kemudian beliau menghadiahkan bacaan Yaassin dan terus mengucup dahi ayah… syahdunya, melihat seorang doktor yang selama ini tidak jemu merawat ayah secara percuma menghadiri majlis terakhir ayah… 

Selepas itu, kereta jenazah tiba untuk membawa ayah ke rumah nenek untuk diuruskan. Setibanya di rumah nenek, sekitar jam 9 pagi, Menteri Besar Kelantan tiba bersama beberapa orang. Tuan Guru bersalam-salaman dengan tetangga dan naik ke rumah. Berdoa di hadapan jenazah ayah dan meminta diri untuk meninggalkan rumah kami… beliau melawat jenazah ayah… 

Seterusnya, kami sepakat untuk mengebumikan jenazah ayah selepas Zuhur. Dalam masa yang sama menunggu along yang bertolak dari KL pukul 10.20 pagi. Pukul 11 lebih, aku dan kakak kelapangan terbang untuk menjemput abang. Beliau baru kembali ke KL pada 4 hb untuk menjenguk kerjanya yang telah lama ditinggalkan kerana menjaga ayah… ditakdirkan Allah ketika ayah pergi beliau tiada, sedihnya… 

Sekembali dari lapangan terbang, kawan-kawanku ketika di Maahad tiba. Najwa sampai awal lagi sebelum kujemput abang, kemudian Fatimah, Nadia, Lina dan Adila tiba. Kami bersalaman dan berpelukan… Selepas itu ku hampiri lagi jenazah ayah buat kali ke berapa. Kami hadiahkan lagi bacaan Yaasiin buat ayah… selepas itu jenazah bersedia dimandikan. 

Kami lihat ayah dimandikan sambil abang dan adik lelaki ku membantu. Seterusnya jenazah diangkat dan diletakkan di atas kain kapan. Kami enam beradik sama-sama membantu Pak Lah yang menguruskan jenazah ayah. Kami balut kaki ayah dengan kapas… seluruh badan ayah… 

Alhamdulillah tatkala itu, air mata mampu dikawal. Selepas selesai, kami kucup dahi ayah sebelum ditutup. Bahagianya ayah dalam senyuman… selepas itu, azan zuhur berkumandang… semuanya bergegas ke surau di hadapan rumah nenek untuk solat. Ku turut solat. Selepas solat zuhur, jenazah dibawa ke surau untuk di solatkan dan dibawa ke tanah perkuburan… 

Along, berbaju putih ditepi pusara ayah


 Imbas kembali…. 


 1 Syawal 1433H bersamaan 19 Ogos 2012. 

 Ayah tidak bersemangat untuk raya… namun, dia minta aku iron kain pelikat barunya… dia pakai juga namun tidak larat untuk keluar. Duduk di bilik sahaja. Usai solat raya, pak cikku datang dan bertanyakan khabar ayah. Kataku, ayah penat. “bila nak bawa ayah ke hospital?” tanya pak cik. Kataku ayah tidak mahu. “mah, awak perlu fikir macam orang dewasa, bukan pelajar. Kita ada cara untuk bawa ayah kehospital. Panggil ambulance. Ayah akan okey” kata pak cikku. 

Sebenarnya, aku hormati perasaan dan permintaan ayah. Ku tahu sebenarnya ayah tidak suka hospital, sebab itu dia jarang masuk wad. Seingatku masa aku bersekolah rendah adalah kali terakhir ayah ditahan dalam wad… kemudian ayah keluar bilik dan berborak dengan pak cik… Hari ini ramai tetamu datang. Keluarga mak dari Setiu pun ramai datang. Ditambah pula dengan adik-beradik ayah. Ayah nampak lebih semangat bila ramai orang datang melawat dia… 


 2 Syawal 1433H bersamaan 20 Ogos 2012

Masih ramai kenalan dan saudara datang beraya sambil melawat ayah… hari ini ayah nampak emosi. Mungkin dia penat. Namun seketika kemudian dia okey dan mesra melayan tetamu yang hadir. Kadang-kadang diruang tamu, bila penat, orang ziarahnya di bilik. Pada hari itu juga, mak cikku buat open house, mak tak pergi sebab jaga ayah. Abang, kakak n adikku pergi. Aku teringin nak pergi juga tapi ayah kata… “ mah, tak yah g la umah cik yah, jaga ayah. Kalau nak makan apa2, minta mereka bawa balik…” aku hormati permintaan ayah. 

Tengah hari itu, ayah makin penat. Dia minta along ambil kerusi roda dalam stor. Katanya dia penat, tapi bosan duduk dalam bilik. Along dan abg ngah basuh kerusi roda. Lepas itu ayah duduk atas kerusi roda. Ronda sekitar rumah. Pergi dapur, ruang tamu dan bilik dengan ditolak oleh kami. Petang itu, mak datang ke bilikku. Ketika itu aku sedang borak dengan adik. Mak nangis sambil cakap ayah nampak lain. Mak takut… along call keluarga terdekat. 

Malam itu, dengan persetujuan ayah, kami bawa ayah pergi hospital. Ambulan Hospital Pakar Perdana jemput ayah… di wad kecemasan hospital itu, doktor maklumkan ayah perlu dimasukkan ke ICU untuk tempoh waktu yang tidak dapat dimaklumkan. Memikirkan biaya yang agak besar di ICU hospital itu, ayah bersetuju untuk dipindahkan ke hospital biasa… Malam itu juga, ayah dibawa ke Hospital Kota Baharu… sekitar 2 pagi, ayah dibawa masuk wad. Ku ingat lagi, wad Mahsuri, tingkat 3. Malam itu, mak teman ayah dan ayah minta kami adik-beradik untuk balik kerana sudah lewat pagi. 

 Waktu melawat hospital itu adalah pukul 1 hingga 2 petang dan pukul 5 hingga 7 petang. Namun, kami dipermudah masuk walau bukan pada waktu. Seingatku aku sempat menjaga ayah selama 3 malam dihospital sebelum kembali meneruskan praktikum di Gopeng. Kenangan tatkala pertama kali menolak ayah menaiki kerusi roda ke tandas, secara tidak sedar, aku terbaca doa naik kenderaan. Banyak kali juga perkara ini berlaku. Aku cerita pada mak dan adik-beradik, mereka semua tergelak. Huhu… 

Sebenarnya sepanjang 1 Syawal hingga 19 Syawal, banyak kenangan manis kami bersama. Walau masa itu kelihatan pendek ditambah lagi aku yang dua kali sempat pulang ke Gopeng, namun, masa yang ada itu bermanfaat. Ada kala ayah nampak sihat dan sempat membuat kami gelak… namun ada kala dia nampak sangat penat…. 

Sebenarnya banyak lagi perkara yang terakam diminda, namun untuk diluah terasa berat… kutulis di sini sebagai kenang-kenangan untuk kami semua… jika ada salah dan silap, harap dimaafkan… selamat membaca…

8 ulasan:

  1. Salam hakemah..takziah kak ucapkn buat hakemah dan keluarga. Sedih bila kak baca..

    Alfatihah.
    -farahana pba-

    BalasPadam
  2. Al-Fatihah..
    Semoga arwah di tempat dikalangan org yg beriman.
    Salam takziah dari saya..

    BalasPadam
  3. stp yg dtg pasti akan kembali,
    semoga arwah ditempatkan dlm klgn para solihin. amin..

    semoga mah semakin kuat !!! :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. syukran wa... penguat semangatku... bersusah datang tatkala waktu itu! TQ

      Padam
  4. Innalillah. Semoga arwah berada di taman2 syurga. Buat k.Kimah sekeluarga,moga kekal tabah Dan kuat. Moga kalian sekeluarga disatukan kembali kelak di syurgaNya. Amin.

    BalasPadam
  5. Innalillah... sayu membaca entri anda... saya tahu bagaimana rasanya kehilangan orang yang dicintai... mentelah lagi Emak saya baru meninggalkan dunia fana ini 6 bulan yang lalu disusuli kakak sebulan lepas...
    Hanya kenangan2 indah menjadi teman...

    BalasPadam